Jabarut/Alam Jabarut — Istilah yang digunakan bagi menceritakan mengenai keadaan atau suasana sifat Tuhan sebagai penjana kepada segala bakat dan keupayaan yang dengannya makhluk diciptakan dan seterusnya menikmati kesinambungan kewujudan.
jalan kenabian — Jalan yang menurut Sunah Rasulullah s.a.w yang telah diikuti oleh para sahabat. Orang yang berjalan pada jalan ini menetap dalam kesedaran, tidak memasuki suasana yang ada fana, baqa, zauk, bersatu dengan Tuhan dan yang seumpamanya. Penekanan pada jalan kenabian adalah kehambaan kepada Tuhan, mengerjakan yang makruf dan mencegah yang munkar dan berjihad pada jalan Allah s.w.t. Pada jalan ini kecintaan kepada Tuhan berlaku secara rasional. Tidak ada rintihan untuk bersatu dengan Tuhan atau tangisan kerana berpisah dengan-Nya. Pada jalan kenabian seseorang Muslim menetap dalam suasana kehidupan harian, tidak mengasingkan diri di tempat yang sunyi. Mereka menceburkan diri dalam urusan mengadakan kesejahteraan kepada masyarakat.
jalan kesufian — Jalan kesufian terkenal dengan latihan kerohanian yang dilakukan secara mengasingkan diri di tempat-tempat yang sunyi. Pada jalan ini penekanannya adalah hubungan hamba dengan Tuhan. Dalam aspek ini seseorang sufi sangat bersungguh-sungguh. Aspek hubungan sesama manusia sangat kurang dilakukan. Biasa terjadi seseorang sufi tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya. Penekanan terhadap hubungan dengan Allah s.w.t semata-mata dengan latihan yang menjurus ke arah tersebut biasanya membawa sufi kepada suasana yang ada pengalaman zauk, jazbah, fana, baqa dan bersatu dengan Tuhan. Sebahagian sufi menetap pada jalan kesufian sementara sebahagian yang lain kembali kepada jalan kenabian. Sufi yang telah sempurna perjalanannya biasanya kembali kepada jalan kenabian dan mengambil bahagian dalam urusan masyarakat.
jalan mahabbah — Peralihan daripada jalan kesufian sebelum menetap pada jalan kenabian. Ketika berada pada jalan mahabbah seseorang itu terlepas sedikit demi sedikit daripada kesan mabuk, fana dan baqa. Apabila kesedarannya kembali sepenuhnya dia kembali menetap pada jalan kenabian.
Jamhut — Keadaan Allah s.w.t yang tidak dapat dihuraikan.
jazbah — Sufi melatihkan diri untuk tidak mengingati sesuatu kecuali Allah s.w.t. Penghapusan kesedaran kemanusiaan membawa sufi bertembung dengan suasana atau hal yang dinisbahkan kepada ketuhanan. Pembukaan terhadap alam ghaib memberi kesan yang kuat kepada hati sufi. Kesan tersebut dinamakan jazbah. Sufi yang mengalami jazbah merasai atau menyaksikan dengan mata hatinya tentang hal-hal ketuhanan.
jazbah khadam — Ada orang yang melakukan latihan atau amalan khusus untuk membuka alam ghaib bukan kerana mahu mendekati Allah s.w.t. Bila terbuka alam makhluk halus kepadanya, makhluk halus menguasainya. Penguasaan makhluk halus tersebut menyebabkan berlaku perubahan pada jiwa dan fikirannya. Dia menjadi alat yang menterjemahkan keadaan makhluk halus yang menguasainya. Sebahagian daripada mereka dapat mengambil manfaat daripada makhluk halus yang berdampingan dengannya. Sebahagian yang lain pula dikuasai secara menyeluruh oleh makhluk halus tersebut hingga menyebabkan mereka menjadi gila. Penguasaan makhluk halus tersebut dinamakan jazbah khadam.
junub — Keadaan tidak suci. Junub zahir terjadi kerana keluar mani (samada dengan bersetubuh ataupun tidak) dan juga kerana bersetubuh (keluar mani ataupun tidak). Junub batin adalah kelalaian hati daripada mengingati Allah s.w.t. Apabila hati lalai maka syaitan akan memasukinya. Kekejian syaitan mengotorkan hati.