Sufi Islam Darul ImanBersama Memurnikan Akidah & Akhlak Muslim

K

Kalam Hakiki — Kalam Allah s.w.t. Apa sahaja yang ada pada Allah s.w.t adalah Hakiki atau Mutlak. Perkataan Allah s.w.t yang ke sejuta dengan perkataan-Nya yang pertama tidak berbeza, tiada jarak ruang atau masa. Tiada jarak dan perbezaan di antara Kalam-Nya tatkala mula-mula menciptakan alam dan tatkala Dia mengadakan kiamat kelak. Perkataan-Nya Yang Hakiki bukanlah susunan kata-kata yang ada abjad dan suara. Hanya Dia yang mendengar dan mengetahui Kalam Hakiki-Nya.

Kalimah Syahadah — Asyhadu an- la ilaha illa Llah wa- asyhadu anna Muhammad ar- Rasul ul- Llah

Kalimah Tauhid — La ilaha illa Llah

kamaliah — Nafsu kamaliah.

kasyaf — Terbuka pandangan mata hati kepada perkara ghaib. Kasyaf ada dua jenis iaitu kasyaf kecil dan kasyaf besar. Kasyaf kecil ialah terbuka pandangan mata hati untuk melihat kepada benda-benda dan suasana alam yang ghaib seperti alam kubur, makhluk halus, alam arwah dan sebagainya. Kasyaf besar pula adalah terbukanya pandangan mata hati untuk melihat sesuatu mengenai Tuhan pada perkara dan suasana makhluk.

Kebenaran Hakiki — Kebenaran yang sejati sebagaimana yang dikhabarkan oleh al-Quran dan al-Hadis.

khalaq — Makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t.

khalifah — Hamba yang diamanahkan oleh Tuhan untuk memikul beban menguruskan kehidupan di bumi serta memakmurkannya menurut peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Khalifah bertanggungjawab menegakkan keadilan dan kebenaran.

khalifah ar-rasyidin — Pemimpin umat Islam yang dibimbing oleh Allah s.w.t dan diperakui kebenaran mereka oleh Rasulullah s.a.w. Mereka ialah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Selain mereka Umar bin Abdul Aziz dikatakan termasuk juga dalam kumpulan khalifah ar-rasyidin.

khalifah kerohanian — Salik yang telah kembali kesedarannya dan mempunyai keupayaan untuk menguruskan kehidupannya dan bidang pengkhususannya serta mempunyai ilmu yang mencukupi dalam bidang kerohanian layak bergelar khalifah kerohanian. Mereka mempunyai keupayaan untuk membimbing orang lain berjalan pada jalan Allah s.w.t. Mereka mampu menghuraikan pengalaman kerohanian yang ditempuh oleh orang yang menerima bimbingan mereka.

khalq — Makhluk, iaitu perubahan keadaan ‘adam daripada tidak ada kepada ada setelah memperolehi nikmat penciptaan daripada Allah s.w.t.

khalwat — Pengasingan diri di tempat yang sunyi.

khurafat — Kepercayaan yang menyalahi ajaran agama.

Khutbah Makrifat — Kesimpulan mengenai kedudukan Allah s.w.t sebagai Tuhan yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, kedudukan kewujudan pada sisi-Nya dan kedudukan makhluk yang diciptakan-Nya. Penghayatan kepada Khutbah Makrifat yang ringkas hanya terjadi setelah seseorang memperolehi makrifat, iaitu mengenal Allah s.w.t dan mengenal peraturan-Nya pada makhluk-Nya.

khilafiah — Perkara-perkara yang menimbulkan keraguan dan pertikaian lantaran tidak ada nas yang jelas mengenai hukumnya.

kitabul mubin — Kitab yang nyata, iaitulah segala perkara yang dijadikan oleh Allah s.w.t. Hati yang memiliki nur makrifat menyaksikan apa sahaja kejadian Tuhan seumpama cermin untuk dia melihat sesuatu tentang Tuhan. Sekalian alam ini merupakan kitab baginya untuk mengenal Allah s.w.t dan memperolehi hikmah dalam menjalani kehidupan harian.

Kuasa Mutlak — Kuasa Allah s.w.t. Tatkala Allah s.w.t berkuasa menciptakan hamba-Nya tatkala itu juga Dia berkuasa mematikannya. Tatkala Dia berkuasa menciptakan alam tatkala itu juga Dia berkuasa mengkiamatkannya. Kuasa Mutlak tidak berjalan mengikut susunan. Pada Kuasa Mutlak tidak ada suasana bergerak langkah pertama dahulu baharu bergerak langkah ke dua. Bagi Kuasa Mutlak langkah awal dengan langkah akhir adalah yang sama. Pada Kuasa Mutlak tidak ada jarak tindakan-Nya menciptakan alam dengan tindakan-Nya mengadakan kiamat terhadap alam. Jarak, ruang dan masa menguasai makhluk yang tidak mutlak. Allah s.w.t Yang Mutlak tidak dikongkong oleh jarak, ruang dan masa. Keadaan yang demikian dipanggil Berdiri Dengan Sendiri.

Kudrat — Kuasa, iaitu kuasa Allah s.w.t.

kufur syariat — Perlakuan yang jelas memesong akidah yang menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam, misalnya sengaja menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

kufur tarekat — Kufur tarekat berlaku di luar kesedaran dan kawalan orang yang sedang dikuasai oleh jazbah. Dalam suasana yang demikian orang yang berkenaan mungkin mengeluarkan perkataan yang menyalahi syariat seperti mengakui persamaan wujud hamba dengan Wujud Tuhan. Oleh kerana perkara tersebut berlaku diluar kesedaran dan kawalannya maka kesalahannya itu perlu dimaafkan, tetapi ianya tidak boleh diikuti oleh orang lain yang di dalam kesedaran biasa.

Kursi — Arasy menjadi benteng yang kukuh menghijab makhluk daripada Tuhan. Tanpa hijab Arasy kewujudan makhluk akan hancur kerana tidak tahan menerima tajalli Tuhan. Kursi pula menjadi benteng yang kukuh menghalang pencerobohan makhluk terhadap perbendaharaan Tuhan seperti Lohmahfuz. Makhluk yang menerima perintah mendiami ruang di bawah daripada Kursi. Tidak ada daripada kalangan makhluk ini yang mampu menembusi Kursi untuk mengambil sesuatu daripada perbendaharaan Tuhan. Hanya makhluk yang menjalankan Urusan Tuhan diizinkan mengambil perintah Tuhan yang dibentengi oleh Kursi. Jadi, Kursi menjadi hijab atau benteng yang memisahkan golongan makhluk yang membawa urusan Tuhan dengan makhluk yang menanggung kewajipan menjalankan perintah Tuhan.

Kembali ke senarai bab