ihsan — Suasana hati yang merasakan kehadiran Allah s.w.t tidak terhijab.
ijtihad — Daya usaha orang alim dan arif dalam mencari tindakan dan pegangan yang benar berhubung dengan perkara-perkara yang baharu timbul di dalam masyarakat, berlandaskan sumber hukum syariah yang betul.
iktikad — Pegangan yang berhubung dengan kepercayaan agama.
ilham — Apa juga perkara abstrak yang sampai kepada manusia ada sumbernya. Fikiran dan khayalan tidak terjadi dengan sendirinya. Ada pencetus atau yang merangsang yang menggerakkan akal untuk berfikir atau berkhayal. Akal berfikir menurut rangsangan yang diterimanya. Perangsang akal itu dinamakan ilham. Ia bersumberkan alam ghaib yang tidak dapat difikir oleh akal. Jika akal boleh memikirkan mengenainya maka akal tidak memerlukan sumber tersebut. Kelemahan akal itu ditampung oleh ilham. Sumber yang merangsang akal itu ada dua iaitu yang baik dan yang jahat. Sumber yang baik datangnya dari alam malakut (alam malaikat) dan sumber yang jahat datangnya dari alam jin yang dibawa oleh syaitan. Nur yang terpancar dari alam malakut menggerakkan akal supaya memikirkan tentang kebesaran dan kemurahan Tuhan dan berbakti kepada-Nya. Cahaya api syaitan yang terpancar dari alam jin merangsang akal untuk melakukan kejahatan dan kerosakan.
Iliyyin — Sebahagian daripada syurga, di mana catatan amalan yang baik-baik ditempatkan.
ilmu ahkam — Ilmu yang berhubung dengan hukum-hukum, dinamakan juga ilmu fikah.
ilmu asrar — Ilmu yang berhubung dengan perkara-perkara ghaib dan seni, dinamakan juga ilmu tasauf.
ilmu ghaib — Ilmu laduni.
ilmu hakikat — Ilmu ketuhanan.
ilmu laduni — Pengetahuan yang diperolehi bukan melalui proses pembelajaran. Pengetahuan tersebut boleh dibahagikan sebagai pengetahuan umum dan pengetahuan khusus. Pengetahuan umum adalah naluri semulajadi yang dibekalkan kepada sesuatu kejadian, misalnya manusia mempunyai pengetahuan laduni untuk membezakan kesakitan yang dirasai di dalam perut apakah ianya kesakitan kerana mahu membuang air besar ataupun kesakitan kerana sakit perut biasa. Bagitu juga dengan bayi yang dikurniakan pengetahuan laduni untuk menangis sebagai menceritakan keadaannya yang lapar atau sakit. Laduni yang khusus adalah pengetahuan mengenai ketuhanan secara rohani. Pengetahuan yang demikian dicampakkan ke dalam hati tanpa perlu belajar. Seseorang itu dengan tiba-tiba sahaja mengetahui sesuatu tentang Tuhan atau perkara ghaib. Pembelajaran seterusnya berperanan menambahkan atau memperjelaskan pengetahuan tersebut.
Ilmu Mutlak — Ilmu Allah s.w.t. Ilmu Allah s.w.t adalah Ilmu secara keesaan. Tidak ada jarak, ruang dan masa dalam suasana Ilmu Tuhan. Tuhan mengetahui yang abadi tatkala Dia mengetahui yang azali. Tuhan mengetahui kematian seseorang hamba-Nya tatkala Dia mengetahui kelahirannya. Tuhan mengetahui bilangan ke sejuta tatkala Dia mengetahui bilangan yang pertama. Dia mengetahui yang akhir tatkala Dia mengetahui yang awal dan Dia mengetahui yang batin tatkala Dia mengetahui yang zahir.
ilmu Rabbani — Seperti ilmu hakikat dan ilmu laduni, iaitu ilmu yang datangnya secara langsung daripada Allah s.w.t.
ilmu tasauf — Satu aliran ilmu dan kefahaman agama yang menitik-beratkan soal hati, penyuciannya dan hubungannya dengan Tuhan.
iman syuhudi — Keyakinan yang lahir daripada penyaksian mata hati.
Insan Batin — Sama seperti Diri Batin.
Insan kamil — Sama seperti Hakikat Insan Kamil.
Insan Rahsia Allah s.w.t — Insan Batin atau Diri Batin yang berhubungan dengan Latifah Rabbaniah dan hal-hal ketuhanan dinamakan Insan Rahsia Allah s.w.t kerana hakikatnya tidak diketahui oleh makhluk, hanya Allah s.w.t yang mengetahuinya. Pengetahuan yang dikurniakan kepada makhluk mengenai perkara ini sangatlah sedikit.
Insan Sirullah — Insan Rahsia Allah s.w.t.
Iradat — Kehendak Allah s.w.t.
Israk — Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menunggang kenderaan alam ghaib yang dinamakan buraq. Dalam perjalanan tersebut Rasulullah s.a.w diperlihatkan seluruh bahagian alam dunia termasuklah bahagiannya yang ghaib dan tersembunyi. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke sebelas Nabi Muhammad s.a.w diutuskan menjadi rasul.
istidraj — Kesenangan dan kemewahan yang mendatangi secara berterusan kepada orang yang mengingkari perintah Allah s.w.t, berbuat dosa dan maksiat. Kesenangan dan kemewahan yang demikian membuat manusia menjadi lalai dan bertambah kekufuran serta kefasikannya. Ketika mereka sedang asyik dengan kesenangan dan kemewahan tersebut Tuhan datangkan bala dengan tiba-tiba sehingga apa yang dimilikinya menjadi tidak bermanfaat kepadanya. Jadilah mereka orang yang berputus asa.
istighfar — Permohonan kepada Allah s.w.t agar diampunkan dosa.
istiqamah — Menetap dengan sesuatu amalan atau suasana.
ittisal — Selepas suasana wusul sampailah kepada suasana ittisal, iaitu berhubungan dengan Allah s.w.t. Dalam suasana yang demikian nama tidak terlintas lagi dalam ingatan, yang ada hanyalah pandangan mata hati yang mengandungi kejeliraan, kemesraan dan kelazatan. (Sila lihat maksud wusul untuk memahami maksud ittisal).