salat daim — Sembahyang yang berkekalan. Ada beberapa pengertian mengenai salat daim. Pertama, ia bermaksud sembahyang yang dilakukan secara berkekalan, iaitu tidak meninggalkan sebarang sembahyang fardu. Kedua, ia bermaksud hati sentiasa terikat dengan sembahyang, samada sedang melakukan sembahyang atau sedang menunggu untuk mengerjakan sembahyang sebelum masuk waktu sembahyang. Ke tiga, ia bermaksud suasana Latifah pada tahap kesedaran sir. Dalam kesedaran tersebut muka hati sentiasa menghadap kepada Allah s.w.t, tanpa diganggu oleh kesibukan pekerjaan atau kehadiran makhluk yang perlu dilayani. Keadaannya samalah seperti keadaan orang yang sedang berpuasa. Kesibukan dalam urusan harian tidak menghilangkan suasana berpuasa pada hati orang berkenaan. Pada tahap kesedaran sir setiap perbuatan dan perkataan menjadi ibadat.
salihin — Orang salih, iaitu orang beriman yang berjalan sesuai dengan peraturan syariat.
salik — Orang yang memasuki bidang latihan kerohanian.
salikin — Sama seperti salik.
sama’ah — Menceritakan kebaikan yang dilakukan bagi tujuan mendapatkan puji-pujian.
Samad — Salah satu daripada nama-nama Allah s.w.t yang menceritakan tentang hal-Nya. As-Samad membawa maksud bahawa Allah s.w.t jualah tempat makhluk berhajat dan bergantung. Makhluk tidak mungkin bebas daripada pergantungan kepada-Nya. As-Samad juga membawa maksud bahawa Allah s.w.t sahajalah yang berkuasa menerima permohonan hamba dan memperkenankannya. Selain itu as-Samad juga membawa maksud bahawa Allah s.w.t adalah penghujung segala sesuatu. Segala doa, hajat, harapan, cita-cita, khayalan dan sebagainya, walaupun dituju kepada sesiapa sahaja namun, kesudahannya sampai kepada Dia juga. Tidak ada perkataan, perbuatan, niat dan lain-lain yang terlepas daripada Allah as-Samad.
siddik — Salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w. Siddik bererti benar, iaitu Rasulullah s.a.w adalah benar dalam penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w hanya menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Baginda s.a.w tidak mengada-adakan cerita dan tidak pula menyembunyikan sebarang perkhabaran yang disampaikan oleh Allah s.w.t.
Sifat Hakiki — Sifat Allah s.w.t yang melampaui penyifatan dan ibarat.
Sir — Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t yang menghubungkan makhluk dengan-Nya. Hakikat hubungan tersebut tidak diketahui oleh makhluk.
Suara Hakiki — Perintah batin, petunjuk ilmu, petunjuk laduni atau nur dari alam ghaib diterima oleh hati nurani. Nur yang demikian sampai kepada hati dengan membawa sesuatu perutusan dan pengertiannya ditanamkan kepada hati seumpama menanam sebiji benih. Hati adalah umpama bumi yang menumbuhkan benih tersebut. Setelah benih itu tumbuh maka pokoknya menjadi nyata. Sehubungan dengan itu hati berperanan menterjemahkan perutusan segumpal yang diterimanya. Dalam berbuat demikian hati seolah-olah menerima pengajaran dan tutur-kata yang menghuraikan perutusan nur yang diterimanya. ‘Tutur-kata’ yang didengar atau difahami oleh hati itu dinamakan Suara Hakiki. Ia adalah suara hati bukan suara manusia berkata-kata secara nyata.
suhuf — Catatan wahyu yang diturunkan kepada nabi-nabi yang sedikit bilangannya dinamakan suhuf sementara yang lebih banyak dinamakan kitab.
syariat — Hukum dan peraturan Tuhan mengenai sesuatu perkara yang wajib dipatuhi oleh manusia. Syariat diturunkan kepada nabi-nabi dan mereka menyampaikannya kepada umat manusia.
syariat batin — Peraturan syariat yang berhubung dengan amalan hati seperti niat, iman, tawakal dan sebagainya.
syariat zahir — Peraturan syariat yang berhubung dengan amalan zahir seperti cara-cara mengerjakan sembahyang, haji dan lain-lain.
syurgawi — Nikmat, kesejahteraan dan keselamatan yang ada di syurga.
syuhud — Penyaksian dengan mata hati. Walaupun perkataan penyaksian digunakan namun, syuhud bukanlah melihat semata-mata. Syuhud menggabungkan penyaksian, pendengaran dan perasaan hati. Dalam syuhud apa yang disaksikan itu jugalah yang didengar dan dirasakan. Gabungan bakat-bakat yang ada pada hati itulah dinamakan syuhud.
syirik — Melanggar sempadan yang memisahkan ketuhanan daripada kehambaan. Syirik terjadi apabila taraf ketuhanan diturunkan sehingga menyamai taraf kehambaan dan juga apabila taraf kehambaan dinaikkan sehingga menyamai taraf ketuhanan. Syirik bukan sahaja terjadi dalam perkara penyembahan malah perkara-perkara lain juga boleh menyebabkan syirik, seperti pemujian, penyayangan, ketaatan dan sebagainya. Jika berlaku pemujian, penyayangan dan ketaatan kepada makhluk sehingga membelakangi hak ketuhanan Allah s.w.t, maka terdapatlah syirik padanya.
syuhada — Orang yang mati syahid, iaitu orang yang mati dalam peperangan pada jalan Allah s.w.t.
syuhudi — Penyaksian dengan mata hati. Walaupun perkataan penyaksian digunakan namun, syuhud bukanlah melihat semata-mata. Syuhud menggabungkan penyaksian, pendengaran dan perasaan hati. Dalam syuhud apa yang disaksikan itu jugalah yang didengar dan dirasakan. Gabungan bakat-bakat yang ada pada hati itulah dinamakan syuhud.
syurgawi — Sifat-sifat yang ada dalam syurga seperti keselamatan dan kelazatan.