Sufi Islam Darul ImanBersama Memurnikan Akidah & Akhlak Muslim

T

tabligh — Salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w. Tabligh bermaksud menyampaikan, iaitu Rasulllah s.a.w menyampaikan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t, tanpa menyembunyikan atau meminda sesuatu.

tafakur — Proses pengambilan ilmu oleh akal zahir daripada akal yang bersuluhkan nur. Proses ini berlaku sebagai perbincangan dengan diri sendiri. Diri sendiri yang menjadi penanya dan penjawab. Bantuan nur membuka kefahaman terhadap perkara-perkara yang tidak difahami sebelumnya. Aspek diri yang bertanya mendapat jawapan yang memuaskan daripada aspek diri yang menjawab.

tajalli — Hal ketuhanan yang Allah s.w.t gubahkan bagi memperkenalkan Diri-Nya dan gubahan tersebut dihantarkan-Nya kepada hati hamba-Nya.

tajalliyat — Tajalli.

tajalli ilmu — Pembukaan terhadap pengetahuan mengenai pengalaman kerohanian yang telah dilalui dan hasilnya tercapailah makrifat.

tajalli Rahmani — Pembukaan mengenai hal-hal ketuhanan yang dipengaruhi oleh Tarikan ketuhanan secara langsung. Dalam tajalli Rahmani salik mencapai fana dan ikut hancur adalah ego dirinya. Apabila salik kembali kepada kesedaran semula dia kembali dengan tawaduk, tanpa ego diri, sombong atau takbur.

tajalli roh — Pembukaan mengenai perkara ghaib berlandaskan kekuatan Roh Haiwani yang dihijabkan oleh sifat-sifat nafsu yang rendah. Tajalli roh mendorong kepada penyaksian terhadap ketuhanan roh. Orang yang menerima tajalli roh menjadi semakin ego, merasakan ketuhanan diri dan membuang syariat.

tajalli rohani — Sama seperti tajalli roh.

tajrid — Suasana hati yang melihat sesuatu perkara dari sumbernya, iaitu Tuhan. Kepantasan mata hati memandang kepada Tuhan menyebabkan hukum sebab musabab tidak mempengaruhinya. Hati yang demikian kuat berserah dan bergantung kepada Tuhan, bukan kepada makhluk. Walaupun tindakan menurut hukum sebab musabab diambil namun, keberkesanan diletakkan kepada Tuhan dan ketentuan-Nya, bukan pada sebab musabab tersebut.

takwa — Sempadan hukum dan peraturan Tuhan yang perlu dijaga oleh seseorang hamba. Hamba yang bertakwa memelihara dirinya agar tidak terdorong untuk keluar dari sempadan tersebut. Dalam berbuat demikian hati dikuasai oleh rasa taat, merendah diri, takut, harap dan sebagainya kepada Tuhan. Gabungan sifat-sifat kehambaan tersebut merupakan sifat takwa.

tanzih — Keadaan Tuhan yang melampaui penyifatan.

taqarrub — Mendekati Allah s.w.t.

tarekat — Jalan, cara atau sistem yang digunakan bagi tujuan mendekatkan diri kepada Tuhan.

tarekat Islam — Peraturan syariat zahir dan syariat batin.

tarekat kehidupan harian — Menyesuaikan kehidupan yang dijalani harian dengan peraturan syariat zahir dan syariat batin.

tarekat sufi — Jalan kesufian.

tarekat tasauf — Pendekatan diri kepada Tuhan melalui cara tasauf menurut kaedah yang dibentuk oleh guru-guru tasauf yang telah mencuba sendiri sesuatu kaedah itu.

tarekat ujian bala — Ujian bala seperti penyakit, kesusahan mencari rezeki, kemalangan dan lain-lain adalah merupakan proses latihan kepada jiwa agar ia kembali kepada Tuhan.

tasauf — Satu aliran ilmu dan kefahaman agama yang menitik-beratkan soal hati, penyuciannya dan hubungannya dengan Tuhan.

tasybih — Keadaan Tuhan yang boleh disifatkan.

taubat nasuha — Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat jenis ini adalah seumpama mencabut rumput dengan akarnya sekali agar rumput tersebut tidak berpeluang tumbuh kembali. Orang yang melakukan taubat nasuha bukan sahaja berhenti melakukan kesalahan malah faktor-faktor yang boleh membuka pintu kepada kesalahan tersebut juga dihapuskan.

taufik — Pertolongan Tuhan.

tauhid syuhudi — Penyaksian satu wujud oleh mata hati, dinamakan wahdatul syuhud.

tauhid wujudi — Keyakinan atau kepercayaan tentang satu wujud, dinamakan wahdatul wujud.

tawaduk — Merendah diri, terutamanya dengan Allah s.w.t.

tawajjuh — Salah satu suasana kerohanian di mana berlaku ‘lonjakan’ kesedaran daripada kesedaran kebendaan kepada kesedaran hakikat yang membawa hati merasakan kehampiran Allah s.w.t.

tawakal — Meletakkan harapan, pergantungan dan penyerahan hanya kepada Allah s.w.t. Tawakal beserta setiap amalan, di sepanjang amalan itu, bukan hanya datang sesudah amalan dibuat. Tawakal yang menemani setiap langkah pekerjaan membuat hati sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, melihat Kudrat dan Iradat-Nya, Haula dan Kuwwata-Nya serta Qadak dan Qadar-Nya. Hamba tidak terlepas daripada berhajat dan bergantung kepada Allah s.w.t walau satu detik pun. Allah s.w.t memiliki sifat iftiqar yang mewajibkan hamba memerlukan-Nya. Di atas kefaqiran terhadap Allah s.w.t itulah hamba tidak putus bertawakal kepada-Nya.

tawasul — Mengadakan perantaraan bagi menyampaikan seseorang kepada Allah s.w.t. Ada murid yang bertawasul kepada gurunya bagi mendekatkan dirinya dengan Tuhan. Ada orang yang bertawasul kepada amalan baiknya bagi menyampaikan hajatnya kepada Tuhan. Ada juga orang yang bertawasul kepada arwah orang yang sudah meninggal dunia bagi sesuatu maksud.

Kembali ke senarai bab