Sufi Islam Darul ImanBersama Memurnikan Akidah & Akhlak Muslim

Q

Qadak — Urusan atau suasana Pentadbiran Tuhan mengenai sesuatu perkara. Ia boleh juga dikatakan sebagai hakikat bagi kejadian Tuhan ataupun suasana ilmu Tuhan yang mengenai makhluk-Nya. Apa juga yang Tuhan berkehendak menciptakan sudah ada pada sisi-Nya, dalam Ilmu-Nya sebagai Pentadbiran-Nya dan dipanggil hakikat-hakikat yang menguasai segala kejadian.

Qadar — Apa yang terzahir atau berlaku menurut Qadak yang pada sisi Tuhan atau menurut kehendak yang ada pada Ilmu-Nya atau menurut hakikat-hakikat yang menguasai. Qadak berada pada sisi Tuhan dan Qadar adalah yang ‘keluar’ menurut Qadak tersebut. Qadak adalah ilmu Tuhan dan Qadar adalah perbuatan-Nya menurut Ilmu-Nya. Boleh juga jika maksud yang dijelaskan mengenai Qadak digunakan untuk Qadar dan maksud untuk Qadar digunakan untuk Qadak. Sebahagian ulama mentafsirkan Qadar sebagai suasana ilmu Tuhan dan Qadak pula suasana perbuatan Tuhan. Kedua-dua bentuk pentafsiran tersebut boleh diguna-pakai.

Qurbi Faraidh — Suasana kerohanian di mana seseorang itu berubah kesedaran dan sifatnya. Dalam suasana yang demikian seseorang itu melihat ketidak-upayaan dirinya dan dia hanya menumpang daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Dia melihat apa sahaja yang keluar daripadanya adalah di bawah kekuasaan dan perbuatan Tuhan secara langsung tanpa dia ikut campur sedikitpun.

Qurbi Nawafil — Suasana kerohanian di mana seseorang melihat dirinya sebagai bekas yang Tuhan letakkan bakat-bakat dan keupayaan serta dia diizinkan menggunakan bakat-bakat serta keupayaan tersebut. Orang yang demikian melihat dirinya sebagai pengurus yang diberi kuasa untuk mentadbir apa yang dibekalkan kepadanya.

Qutubul Aqtab — Ketua Agung sekalian wali-wali.

Kembali ke senarai bab