Pembimbing Hakiki — Di dalam pengajian ketuhanan tidak ada istilah kebetulan. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan, tanpa dirancang atau ditadbir. Semua yang berlaku adalah di bawah tadbir Allah s.w.t. Jika secara tiba-tiba seseorang itu mendapat sesuatu pengetahuan atau terbuka kepadanya sesuatu jalan, ianya berlaku bukanlah secara kebetulan tetapi menurut tadbir Tuhan. Oleh kerana hal tersebut berlaku secara tiba-tiba sumber kedatangannya tidak diketahui dengan jelas tetapi diyakini bahawa al-Haq, iaitu Tuhan yang Maha Mengasihani memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya yang berkenaan. Apabila pengajaran tersebut dinisbahkan kepada al-Haq atau Tuhan, ia diistilahkan sebagai Pembimbing Hakiki. Orang yang menerima bimbingan secara demikian dapat merasakan bahawa pengetahuan yang sampai kepadanya adalah secara terancang bukan secara kebetulan. Kehadiran Pembimbing Hakiki tersebut, walaupun tidak diketahui hakikatnya, menambahkan keyakinan kepada hamba yang sedang berjalan pada jalan Tuhan itu.
Pembimbing Rohani — Sama seperti Pembimbing Hakiki.
Penglihatan Mutlak — Penglihatan Allah s.w.t yang bersifat Mutlak. Penglihatan Allah s.w.t tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan. Jika dikatakan Allah s.w.t Melihat makhluk-Nya, maka Dia Melihat makhluk-Nya itu sejak azali, sebelum makhluk diciptakan. Dia Melihat makhluk-Nya tatkala makhluk itu diciptakan. Dia Melihat makhluk-Nya sesudah makhluk diciptakan dan sampailah kepada keabadian. Dia Melihat perbuatan makhluk sebelum makhluk melakukan perbuatan itu, ketika makhluk melakukannya dan sesudah makhluk melakukannya. Dia Melihat yang awal dan yang akhir, yang zahir dan yang batin. Pada setiap perbuatan dan kejadian ada Penglihatan-Nya. Pada setiap penglihatan makhluk ada juga Penglihatan-Nya. Oleh yang demikian makhluk tidak dapat melakukan dan melihat sesuatu tanpa Allah s.w.t Melihatnya.
Penyaksian Hakiki — Penyaksian Hakiki mata hati adalah suasana hati yang sentiasa menyaksikan sesuatu tentang Tuhan, pada setiap masa dan semua kejadian.
Perbendaharaan Yang Tersembunyi — Rahsia-rahsia ketuhanan atau hakikat-hakikat yang berada pada sisi Tuhan. Kumpulan hakikat-hakikat tersebut dinamakan Hakikat Muhammadiah.
Perintah Batin — Hati nurani dinamakan juga Diri Batin. Nur dari alam ghaib diterima oleh hati nurani atau Diri Batin itu. Nur yang dari alam ghaib mempunyai kekuatan menguasai hati nurani. Perutusan yang disampaikan oleh nur tersebut diterima oleh hati nurani seumpama menerima perintah, tidak berupaya mengingkarinya. Hati kemudian memaksa pancainderanya untuk melakukan menurut perutusan yang telah diterimanya. Hal yang demikian dinamakan perintah batin. Orang yang menerima perintah batin ini sering melakukan sesuatu yang pada zahirnya kelihatan tidak munasabah bagi orang ramai. Namun begitu orang berkenaan tidak ragu-ragu melakukan perkara yang telah disampaikan kepada Diri Batinnya itu sekalipun dipandang remeh oleh orang lain.
Petunjuk Ilmu — Hati nurani adalah unsur nur dan ilmu juga unsur nur. Nur ilmu memancar kepada nur hati. Pancaran nur ilmu mengwujudkan sesuatu suasana di dalam hati. Hati memahami perutusan yang dibawa oleh nur ilmu itu. Hal yang demikian dinamakan petunjuk ilmu.
Petunjuk Laduni — Apabila nur dari alam ghaib dinisbahkan kepada pekerjaan atau urusan Tuhan ia dinamakan Petunjuk Laduni. Ia adalah bimbingan yang Allah s.w.t sampaikan kepada hamba-Nya yang dikehendaki-Nya.