Sufi Islam Darul ImanBersama Memurnikan Akidah & Akhlak Muslim

N

nafs — Diri manusia. Bila dipandang sebagai diri yang mempunyai keinginan ia dipanggil nafsu. Bila dipandang sebagai diri yang berakal ia dipanggil nafsu natiqah. Bila dipandang sebagai gabungan berbagai-bagai sifat ia dinamakan hati. Nafsu, nafsu natiqah dan hati adalah diri manusia sendiri yang dipandang melalui berbagai-bagai aspek.

nafsu ammarah — Peringkat nafsu yang paling rendah dan paling kuat dikuasai oleh syahwat, dunia dan syaitan. Hijab yang muncul melalui nafsu ini menyebabkan tertutup hubungan hati dengan Tuhan. Nafsu mengarahkan semua pancaindera dan akal kepada perkara-perkara keduniaan semata-mata. Hati yang tidak menerima cahaya iman akan menghasilkan sifat-sifat ammarah

nafsu kamaliah — Peringkat nafsu yang paling tinggi, iaitu tahap kesempurnaan nafsu. Nafsu kamaliah adalah peringkat nafsu yang paling sempurna, suci bersih dan murni.

nafsu lawwamah — Sifat nafsu yang paling rendah, iaitu ammarah, adalah ego, enggan mengakui kesalahan diri sendiri. Apabila sifat nafsu itu menjadi bertambah baik cahaya kebenaran dapat menyelinap masuk ke dalam hati dan akal. Dalam suasana yang demikian seseorang dapat melihat dan mengakui kesalahan dirinya. Suasana diri yang boleh mengkeritik diri sendiri itu dinamakan peringkat lawwamah.

nafsu mardhiah — Sifat nafsu yang luhur, yang diredai oleh Allah s.w.t.

nafsu mulhamah — Sifat nafsu sebelum memasuki kembali kepada suasana rohani yang asli.

nafsu muthmainnah — Nafsu yang bersih, tulen dan asli yang menjadi sifat nafsu yang asal kepunyaan rohani sebelum dipengaruhi oleh anasir jasad dan alam dunia. Apabila dicemari oleh anasir jasad dan dunia tahap kesucian nafsu menurun kepada mulhamah. Jika kekotoran bertambah lagi ia menurun kepada tahap lawwamah. Nafsu yang sudah banyak tercemar dan berada pada tahap yang paling hina dikenali sebagai ammarah.

nafsu radhiah — Tingkat nafsu di antara muthmainnah dan mardhiah. Kemuncak fana berlaku dalam peringkat radhiah. Orang radhiah lupa kepada dirinya dan makhluk sekaliannya. Kesedarannya hanyalah pada Allah s.w.t.

nasut — Alam benda-benda.

nisbat — Istilah yang digunakan dalam tarekat Naqsabandiyah bagi menceritakan suasana yang tidak putus ingatannya kepada Allah s.w.t.

nur — Unsur seni lagi latif yang termasuk dalam perkara Latifah Rabbaniah. Nur bukanlah cahaya seperti cahaya lampu, cahaya matahari, cahaya kilat dan lain-lain cahaya yang boleh dilihat. Kekuatan akal dan khayal tidak mampu menghuraikan hakikat nur. Apa sahaja yang dinisbahkan kepada Tuhan adalah dalam keadaan nur. Malaikat yang menjalankan perintah Tuhan adalah nur. Roh yang menjadi urusan Tuhan adalah nur. Wahyu yang diturunkan oleh Tuhan adalah nur. Taufik, hidayat dan rahmat Tuhan adalah nur juga. Ilmu juga nur. Nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan Hadrat Tuhan yang dirasai oleh hati adalah nur juga. Nur yang termasuk di dalam golongan kewujudan yang diperintah, seperti malaikat dan roh manusia, adalah makhluk dan menghuni ruang alam. Nur urusan Tuhan, nama-nama, sifat-sifat dan Hadrat Tuhan bukanlah makhluk dan tidak mengambil ruang. Nur yang dinisbahkan secara langsung kepada Tuhan adalah keadaan atau hal Tuhan dan dipanggil Nur Allah. Walaupun terjadi pengalaman kerohanian mengenai Nur Allah, seperti nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya dan Hadrat-Nya, itu bukan bermakna Nur Allah masuk ke dalam hati, fikiran atau khayalan manusia. Apa yang manusia alami hanyalah gubahan Tuhan untuk melahirkan makrifat tentang Diri-Nya. Gubahan Tuhan yang demikian membuka pengertian tentang hakikat ketuhanan yang diselubungi oleh selimut ghaib yang kukuh. nurani: Unsur atau anasir nur. Hati yang merupakan daging segempal adalah anasir nyata dan dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan dinamakan hati nurani. Oleh kerana hati adalah daripada anasir nur maka ia mampu menerima hal ketuhanan yang dari nur.

Nur Akal — Akal ada dua jenis, iaitu akal zahir dan akal batin. Akal zahir mengenderai otak. Akal batin adalah unsur nur. Apabila akal batin sudah diterangi oleh nur baharulah perkara ketuhanan dapat difahami. Nur bagi akal batin menerangi akal yang pada otak. Baharulah manusia dapat memikirkan tentang ketuhanan dan perkara ghaib.

Nur al-Muwaajahah — Nur al-muwaajahah berperanan membawa hamba ‘berhadapan’ dan ‘menyaksikan’ Tuhan dalam suasana “Tidak ada sesuatu yang serupa dengan-Nya”.

nurani — Unsur atau anasir nur. Hati yang merupakan daging segempal adalah anasir nyata dan dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan dinamakan hati nurani. Oleh kerana hati adalah daripada anasir nur maka ia mampu menerima hal ketuhanan yang dari nur.

Nur Iman — Cahaya iman. Iman adalah hubungan hati dengan Allah s.w.t. Hati adalah bangsa nur atau nurani. Apa juga yang dari Allah s.w.t adalah dalam unsur nur. Iman yang terpancar di dalam hati adalah juga nur. Nur Iman yang menerangi hati nurani membuka hubungan dengan Nur Ilahi.

Nur Kalbu — Nur yang memancar di dalam hati. Nur kalbu menerangi akal. Akal yang diterangi oleh nur berguna bagi pengajian tentang perkara ghaib dan ketuhanan. Tanpa sinaran Nur Kalbu akal tidak mampu bertafakur mengenai perkara ghaib dan ketuhanan.

Nur Muhammad — Urusan Tuhan yang berada pada sisi-Nya berhubung dengan penciptaan alam makhluk. Bolehlah dikatakan bahawa sekalian alam makhluk termasuklah manusia, jika disaksikan dalam Ilmu Tuhan maka sekaliannya disaksikan sebagai Nur Muhammad. Jika dipandang sebagai hakikat maka ia adalah Hakikat Insan dan juga Hakikat Alam. Nur Muhammad adalah suasana pentadbiran Tuhan bukan makhluk yang mendiami ruang alam. Bekas alam yang menerima bakat dan keupayaan Nur Muhammad itu dinamakan Roh Muhammad.

Nur Sir — Nur Rahsia Allah s.w.t. Nur sir yang menerima sinaran Nur Allah dan nur sir memancarkannya kepada nur hati, lalu hati mengalami sesuatu hal ketuhanan. Apa yang Allah s.w.t mahu sampaikan kepada hamba-Nya disampaikan-Nya kepada sir. Sir menterjemahkan utusan Tuhan itu dalam bentuk nur dan nur tersebut dihantarkan kepada hati. Hati yang mempunyai bakat makrifat memahami perutusan nur yang dihantarkan oleh sir itu.

nur tawajjuh — Hati hanya boleh menghadap dan menghampiri Tuhan kerana peranan nur. Nur yang berperanan demikian dinamakan nur tawajjuh.

Nurullah — Nur Allah s.w.t.

Nur Zikir — Ibadat yang dilakukan oleh seseorang hamba melahirkan nur. Wuduk melahirkan nur. Sembahyang melahirkan nur. Zikir juga melahirkan nur. Syarat bagi melahirkan nur dalam ibadat itu ialah ikhlas kerana Allah s.w.t semata-mata. Setiap nur yang lahir daripada ibadat itu mempunyai fungsinya masing-masing dalam membantu seseorang hamba mendekati dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Nur zikir melahirkan ingatan, kasih sayang dan kerinduan kepada-Nya. Zikir yang sudah melahirkan nur akan menambahkan kekuatan seseorang hamba dalam pengabdiannya kepada Tuhannya dan dia memperolehi kelazatan dalam berbuat demikian.

Nyawa Insan — Jasad hidup kerana Roh Haiwani dan Roh Haiwani pula memperolehi penghidupan daripada Roh Insan atau Nyawa Insan yang dinamakan juga Latifah Sir.

Kembali ke senarai bab