Sufi Islam Darul ImanBersama Memurnikan Akidah & Akhlak Muslim

M

mabuk — Keadaan orang yang di dalam jazbah. Dia lupa kepada dirinya tetapi pancainderanya masih aktif. Hati nuraninya dikuasai oleh hal ketuhanan yang berbeza dengan sifat kemanusiaan. Oleh yang demikian lahirlah perbuatan dan perkataan yang menyalahi peraturan kemanusiaan.

mahabbah — Cinta.

majnun — Gila.

majzub — Orang yang mengalami jazbah.

makam — Hati hamba menjadi tempat curahan kurniaan Allah s.w.t. Dikurniakan-Nya berbagai-bagai hal kepada hati hamba-Nya. Kurniaan yang demikian adalah semata-mata kerana rahmat dan belas kasihan-Nya kepada hamba-Nya. Hamba tidak berupaya mendapatkan yang demikian dengan amal dan ilmunya. Tetapi apabila kurniaan tersebut diterima oleh hati, maka si hamba perlu mengambil langkah yang sesuai bagi menetapkan hal berkenaan pada hatinya. Apabila hal kurniaan Allah s.w.t itu menetap di dalam hati. Hal yang telah diserapkan menjadi makam akan membentuk sifat dan keperibadian khusus dan berterusan menurut hal berkenaan.

makam abid — Ada sebahagian daripada hamba-Nya dikurniakan hal merasakan kehambaan yang sangat kuat terhadap Allah s.w.t. Hal yang demikian membuatkan si hamba itu mempergiatkan amal ibadatnya. Setelah keadaan yang demikian sebati dengannya akan terbentuklah sifat dan keperibadian yang teguh kehambaannya dan kuat ibadatnya. Suasana yang demikian dinamakan makam abid.

makam al-buhut — Hamba yang sampai kepada penghujung jalan ilmu dan makrifat akan menemui suasana kehairan-hairanan tentang zat Ilahiat yang tidak mampu dihuraikan oleh ilmu dan tidak mampu diperkenalkan oleh makrifat. Bila suasana demikian menguasai jiwa raganya dia dikatakan memperolehi makam al-buhut.

makam alif — Suasana hati yang menghadap Tuhan dengan tetap, tidak teringat kepada sesuatu yang lain.

makam Amin — Orang yang lulus ujian iman dan menetap di atas jalan takwa memperoleh kesejehteraan dan ketenangan. Suasana yang demikian dinamakan makam Amin. Imannya telah teguh, tidak dapat digoncangkan oleh sesuatu.

makam arifbillah — Setelah melepasi peringkat kehairan-hairanan si hamba dibawa kepada ilmu dan makrifat yang berbeza dengan yang sebelumnya. Pada tahap ini si hamba mendapat pengetahuan tentang Allah s.w.t secara mengetahui tetapi tidak ada pengetahuan tentang-Nya namun, keyakinannya teguh bahawa Allah s.w.t yang diketahuinya. Dia juga memperolehi makrifat secara mengenali Allah s.w.t tetapi tiada sebarang pengenalan tentang-Nya, tetapi keyakinannya teguh bahawa Allah s.w.t yang dikenalinya. Dia dikatakan melihat Allah s.w.t secara tanpa huruf, tanpa suara, tanpa ibarat dan tanpa sesuatu yang boleh disifatkan. Hamba yang mengenali Allah s.w.t pada tahap demikian dikatakan mencapai makam arifbillah.

makam asbab — Manusia dikelilingi oleh perjalanan hukum sebab musabab dan mereka mengambil bahagian dalam sistem tersebut. Mereka melihat kekuatan hukum sebab dalam menghasilkan akibat. Bila keyakinan sudah penuh terhadap keberkesanan hukum sebab-akibat itu menguasai hati maka mereka dikatakan berada dalam makam asbab.

makam baqa — Kebaqaan adalah suasana kerohanian yang muncul selepas suasana kefanaan. Dalam proses menaik, iaitu kefanaan, berlaku pelepasan benda-benda alam, makhluk dan diri sendiri daripada kesedaran hati seseorang. Kehendak diri sendiri juga terhapus. Pada kemuncak kefanaan seseorang tidak ingat dan tidak menyedari tentang sesuatu melainkan Allah s.w.t. Selepas peringkat kemuncak kefanaan itu, ingatan dan kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk lain kembali sedikit demi sedikit. Pada tahap ini walaupun dia melihat, menyedari dan mengingati dirinya dan makhluk namun, hatinya masih lagi kuat dikuasai oleh hal ketuhanan yang menyebabkan dia melihat suasana kekekalan dirinya dengan Tuhan. Dia masih melihat persamaan wujudnya dengan Wujud Tuhan. Suasana yang demikian dinamakan makam baqa. Setelah melepasi makam baqa ini baharulah hamba dapat membezakan sepenuhnya wujud makhluk dengan Wujud Tuhan.

makam fana — Suasana terhapusnya kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk sekaliannya, yang ada hanyalah Allah s.w.t.

makam hakikat — Suasana yang ada pengalaman mengenai hal-hal ketuhanan seperti menyaksikan suasana ilmu Tuhan atau urusan pentadbiran Tuhan. Orang yang berada pada makam hakikat hanya melihat Tuhan, dengan Tuhan dan kepada Tuhan.

makam Hakikat Muhammad — Nur Allah merupakan sumber kepada segala kewujudan. Setiap makhluk yang Tuhan ciptakan adalah berdasarkan hakikat berkenaan yang ada pada sisi Allah s.w.t. Hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t itu adalah terjemahan kepada keadaan Nur Allah s.w.t. Kesemua hakikat-hakikat tersebut menceritakan sebahagian daripada keadaan Nur Allah s.w.t kecuali satu hakikat. Hakikat yang satu ini merupakan terjemahan sepenuhnya mengenai Nur Allah s.w.t. Hakikat yang mendapat penguasaan Nur Allah s.w.t secara keseluruhan itu adalah hakikat yang berdasarkan kepadanya Nabi Muhammad s.a.w diciptakan dan ia dinamakan Hakikat Muhammad. Jadi, Hakikat Muhammad merupakan hakikat yang menyeluruh sementara hakikat-hakikat yang lain adalah umpama cabang-cabangnya. Oleh yang demikian terdapat ‘jambatan’ di antara hakikat-hakikat yang lain dengan Hakikat Muhammad. Oleh kerana susunan hakikat yang demikian, maka ada dari kalangan hamba-hamba Allah yang dapat menyeberangi jambatan tersebut untuk sampai kepada Hakikat Muhammad. Keadaan ini berlaku dalam pengalaman kerohanian semata-mata, bukan perjalanan secara nyata. Hamba yang mengalami suasana demikian dikatakan mencapai makam Hakikat Muhammad. Pada makam ini hati si hamba dikuasai oleh rasa kecintaan teramat sangat kepada Allah s.w.t dan rasa yang demikian membuat hatinya berhadapan sepenuhnya dengan Allah s.w.t.

makam hamba pilihan — Hamba yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk memikul sesuatu tugas akan dibawa kepada jalan yang akan memantapkan kerohaniannya sehingga dia layak memikul tugas berkenaan. Dalam proses tersebut si hamba dihadapkan dengan ujian bala bencana. Tujuan bala tersebut bukanlah untuk memusnahkan si hamba itu tetapi untuk membentuk dirinya. Oleh yang demikian Allah s.w.t memperkuatkan hamba-Nya itu dengan bekalan kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi ujian merupakan latihan yang sangat berkesan membentuk kerohanian seseorang. Dalam menuju kemantapan si hamba dibekalkan pula dengan kekuatan reda. Bila kerohaniannya sudah cukup mantap dicanai oleh keredaan dia menetap dalam suasana yang dipanggil makam hamba pilihan. Dalam suasana ini dia sudah benar-benar bersedia untuk memikul beban tugas yang Allah s.w.t sediakan untuknya.

makam ihsan — Apabila hati seseorang hamba itu dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t pada setiap masa maka ia dikatakan mencapai makam ihsan.

makam ikhlas — Ikhlas peringkat pertama adalah ikhlas yang dipaksakan samada sebelum melakukan sesuatu perbuatan ataupun sesudah melakukannya. Seseorang itu perlu mengingatkan dan mengawasi hatinya agar keikhlasan tidak dirosakkan oleh ungkitan ataupun perasaan riak. Setelah keikhlasan sudah menjadi sifat dan keperibadian, seseorang itu tidak perlu memperingatkan dan mengawasi hatinya daripada anasir yang merosakkan keikhlasan itu, malah tidak terlintas pada hatinya tentang perbuatannya itu ikhlas atau tidak. Hamba yang sudah benar kedudukannya dengan Tuhannya akan memiliki keikhlasan secara spontan pada setiap amalannya tanpa dia perlu memperjelaskan niatnya. Suasana yang demikian dinamakan makam ikhlas.

makam insan — Setelah melepasi peringkat fana dan baqa dalam perjalanan kerohanian seseorang salik itu kembali kepada kesedaran manusia biasa, iaitu dia kembali kepada makam insan.

makam Jabarut — Dalam perjalanan menaik kerohanian salik akan sampai kepada peringkat penguasaan sifat Tuhan terhadap hatinya. Dia dikatakan memasuki makam jabarut.

makam kalbu — Apabila salik dapat melepaskan pengaruh alam benda dan tarikan hawa nafsu daripada hatinya, dia masuk kepada kesedaran hati. Dia dikatakan mencapai makam kalbu.

makam keesaan — Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa. Kekuatan akal dan khayal tidak mampu menyingkap atau menghuraikan keadaan keesaan Tuhan itu. Keesaan Tuhan tersingkap melalui pengalaman kerohanian. Dalam suasana keesaan itu seseorang diizinkan merasai ketiadaan diri dan segala yang lain, yang ada hanyalah Allah s.w.t.

makam kehambaan — Keadaan orang yang menyaksikan kehambaan dirinya dan ketuhanan Allah s.w.t.

makam kehampiran — Suasana hati yang merasai kehampiran dengan Allah s.w.t.

makam ketuhanan — Hal-hal atau keadaan ketuhanan. Sebahagian orang mengalami jazbah dan merasai hal-hal atau keadaan tersebut.

makam keteguhan — Sebelum mencapai satu tahap kematangan kerohanian, hati salik berada dalam keadaan berbolak-balik. Keresahan dan dukacita masih berpeluang memasuki hatinya. Setelah dia melepasi peringkat tersebut kesabaran, penyerahan dan keredaannya kepada Allah s.w.t menjadi teguh. Dia memasuki makam ketetapan yang penuh dengan ketenangan.

makam kewalian — Hamba yang sampai kepada makam ketetapan dibawa kepada penjagaan dan pemeliharaan Allah s.w.t. Tuhan memelihara hatinya dan anggotanya daripada melakukan maksiat. Dia dipermudahkan melakukan ibadat dan kebajikan. Apa sahaja yang sampai kepadanya sudah ditapis. Dia hanya menerima yang bersih dan tiada kemudaratan sahaja. Apabila dia terbabas kepada melakukan kesalahan dia dengan segera dibawa kembali kepada jalan yang benar. Suasana demikian dinamakan makam kewalian.

makam khalifah — Kedudukan yang layak menjadikan seseorang khalifah kerohanian yang boleh membimbing orang lain.

makam Lahut — Hal Zat Allah s.w.t yang melepasi semua penyifatan.

makam mahabbah — Apabila hati hamba mempunyai pertalian dengan hakikat dirinya dan terbuka hubungan dengan Hakikat Muhammad akan memancarlah nur yang membukakan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah s.w.t. Dia dikatakan mencapai makam mahabbah.

makam makrifat — Hamba yang sudah sampai kepada peringkat mengenal Allah s.w.t secara hakiki dikatakan memperolehi makam makrifat.

makam melihat Allah s.w.t. — Hati yang akrab dengan Allah s.w.t berada dalam keadaan menyaksikan sesuatu mengenai-Nya pada setiap masa dan setiap suasana. Dia menyaksikan sesuatu mengenai Allah s.w.t pada dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang. Perjalanan hukum sebab musabab dan pergerakan makhluk di dalamnya tidak menutup pandangannya daripada menyaksikan rububiah. Dia dikatakan mencapai makam melihat Allah s.w.t. Melihat-Nya bukanlah dengan mata di kepala tetapi ia adalah penyaksian mata hati yang lahir daripada kecintaan dan kerinduan kepada-Nya.

makam Mukmin — Apabila kecintaan terhadap Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada jalannya melebihi daripada segala-galanya maka layaklah seseorang muslim itu disebut sebagai berada pada makam Mukmin.

makam muqarrabin — Hati yang sudah melimpah-ruah dengan Nur Ilahi akan merasakan keakraban dengan-Nya. Tidak ada lagi hijab dan jarak yang memisahkan di antara hamba dengan Tuhan. Allah s.w.t disaksikan di mana-mana, pada segala sesuatu dan pada setiap waktu. Apa sahaja yang dipandang menjadi cermin untuk melihat sesuatu mengenai-Nya. Apa sahaja yang sampai kepada hati adalah umpama tutur-kata-Nya. Beginilah suasana hati yang merasai kehampiran dan keakraban dengan Tuhan atau yang sampai kepada makam muqarrabin.

makam Muslim — Apabila seseorang Islam dapat berpegang teguh dengan peraturan Islam dan mengamalkannya dengan sebaik mungkin maka layaklah dia mendapat makam Muslim.

makam musyahadah — Keakraban dan kehampiran dengan Allah s.w.t membawa hati si hamba kepada hal atau suasana kerohanian yang dipanggil saling berhadapan dan berpandangan dengan Tuhan. Inilah makam musyahadah.

makam muttaqin — Apabila sifat ketakwaan sudah teguh seseorang hamba itu mencapai makam muttaqin.

makam nafsu — Sifat nafsu boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu nafsu yang keji dan nafsu yang terpuji. Jika sifat nafsu yang keji menguasai hati maka hati itu berada dalam makam nafsu yang keji. Jika sifat nafsu yang terpuji menguasai hati maka hati berada dalam makam nafsu yang terpuji. Makam nafsu yang paling keji ialah nafsu ammarah. Makam nafsu yang terpuji ialah muthmainnah ke atas. Nafsu yang keji menghijab hati daripada menerima nur dari alam ghaib, dengan demikian menghalang cahaya iman daripada memasuki hati.

makam penetapan — Apabila pencarian telah berakhir dan pengalaman kerohanian telah menemukan Yang Haq maka seseorang itu mendapat kepastian mengenai ketuhanan dan kehambaan yang telah mengelirukannya dahulu. Ketika mencari pandangannya masih diliputi oleh keraguan dan ketidak-pastian. Dia masih ‘memandang ke atas’ atau dalam keadaan mencari atau menanti yang dia sendiri tidak tahu apa yang dicari dan dinanti. Bila Kebenaran Hakiki dibukakan kepadanya dia mendapat keyakinan dengan pegangan atau iktikadnya dan ianya tidak bergoncang lagi. Dia dikatakan memperolehi makam penetapan.

makam penyaksian — Pada makam penyaksian mata hati sentiasa memandang kepada Allah s.w.t. Apa sahaja yang dilihat dan dihadapi membuka pandangan hati kepada sesuatu yang mengenai Tuhan, seperti nama-Nya, sifat-Nya, kebesaran-Nya, kemuliaan-Nya dan lain-lain. Pada makam ini Allah s.w.t dikenali melalui dua perkara yang bertentangan. Pertentangan tersebut tidak menutup pandangan hati untuk melihat kehadiran Allah s.w.t pada kedua-dua perkara tersebut. Apabila kehadiran Allah s.w.t dapat disaksikan atau dirasakan pada dua perkara yang berlawanan dengan sekali pandang, maka seseorang itu dikatakan berada pada makam penyaksian.

makam pilihan — Apabila Allah s.w.t memilih seseorang hamba-Nya bagi sesuatu tujuan menurut kehendak-Nya, si hamba itu akan dibawa melalui berbagai-bagai proses dan latihan kerohanian sehingga dia berada dalam keadaan layak dan kuat untuk menanggung beban tugas yang akan Allah s.w.t letakkan di atas bahunya. Hamba yang sudah layak memikul tugas itu dikatakan berada pada makam pilihan. Dia dipilih oleh Allah s.w.t untuk melaksanakan sesuatu urusan-Nya demi kebaikan agama-Nya dan makhluk-Nya.

makam reda — Setelah hamba berjaya melepasi ujian dengan kesabaran yang teguh dia masuk pula kepada suasana reda dengan takdir Allah s.w.t. Bila sifat reda sudah teguh pada hatinya dia mencapai makam reda.

makam roh — Roh atau rohani pada asal kejadiannya adalah suci bersih. Percantuman dengan jasad menyebabkan wujud hijab-hijab yang menutup keaslian roh itu. Setelah melalui beberapa proses dan latihan kerohanian hijab-hijab tersebut dapat disingkapkan. Keaslian roh muncul semula. Semua ini dinamakan makam roh.

makam sabar — Hati yang teguh dengan sifat kesabaran berada dalam makam sabar.

makam siddiqiyat — Makam orang yang benar, iaitu orang yang bersesuaian kehendaknya dan pebuatannya dengan kehendak Allah s.w.t dan peraturan agama-Nya.

makam Sir — Bila hati kembali kepada kesucian dan kemurniaannya yang asli dan kembali memakai sifat rohani yang sejati, ia dikatakan berada pada makam sir.

makam syuhud — Makam syuhud adalah makam penyaksian iaitu menyaksikan rububiah pada setiap waktu dan semua suasana.

makam takdir — Apabila hamba reda sepenuhnya kepada kehendak dan ketentuan Allah s.w.t dia dikatakan mencapai makam takdir. Kesenangan dan kesusahan menjadi dua perkara yang serupa baginya, iaitu takdir Tuhan untuknya.

makam tajrid — Suasana hati yang bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t, teguh dengan sifat-sifat sabar, tawakal, reda dan ikhlas kepada-Nya. Karenah makhluk dan teka teki sebab musabab tidak melemahkan pergantungan dan penyerahannya kepada Allah s.w.t.

makam tauhid sifat — Pada makam tauhid sifat hamba menyaksikan kesempurnaan dan keelokan sifat Allah s.w.t. Dia tidak melihat ada makhluk yang berkuasa mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan kepada sesiapa pun. Penyaksian hatinya adalah Allah s.w.t jualah yang berkuasa dan Dia jualah yang hidup. Dia Berdiri Dengan Sendiri dengan segala sifat kesempurnaan-Nya.

makam tiada doa — Bila ingatan dan kesedaran terhadap diri sendiri serta kehendak diri sudah lebur di dalam hal ketuhanan tidak ada apa lagi yang mendorong si hamba berdoa kepada Tuhan. Bila dirinya dikembalikan bersama-sama kehendaknya dia kembali kepada suasana yang ada permintaan dan doa.

makrifat — Pengenalan terhadap hakikat-hakikat yang dialami oleh hati yang membawa kepada pengenalan terhadap Tuhan. makrifat diperolehi setelah terjadinya kasyaf, iaitu pembukaan kepada keghaiban.

makrifatullah — Hasil daripada pengalaman mengenai hakikat-hakikat seseorang hamba itu memperolehi makrifatullah, iaitu mengenal Allah s.w.t sekadar yang Dia mahu diri-Nya dikenali.

makruf — Perbuatan baik yang sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan yang dilakukan kerana mentaati perintah Allah s.w.t.

malakut — Malaikat. Alam malakut adalah alam malaikat.

mansuh — Dibatalkan.

mardhiah — Nafsu mardhiah.

mata hati — Kebolehan atau bakat untuk menyaksikan perkara ghaib dan hal-hal ketuhanan yang ada pada hati, juga kebolehan hati untuk mengenal hakikat sesuatu.. Mata hati dapat melihat kejahatan syaitan sekalipun syaitan datang sebagai orang yang kelihatan alim dan warak. Lebih penting lagi mata hati mampu menyaksikan sesuatu mengenai Tuhan pada sesuatu perkara dan kejadian yang disaksikannya. Walaupun digunakan istilah mata hati tetapi ianya bukanlah bakat melihat seperti mata zahir di kepala. Mata hati melihat dan mendengar sekaligus. Suasana alam ghaib bukanlah seperti alam nyata. Rupa dan bahasa alam ghaib tidak sama dengan rupa dan bahasa alam nyata. Walaupun rupa dan bahasanya berbeza namun, mata hati boleh mengenal rupa tersebut dan memahami bahasa berkenaan. Keadaannya samalah seperti orang yang bermimpi menemui seseorang yang lain. Orang yang bermimpi itu mengenali orang yang ditemuinya itu walaupun orang tersebut tidak memperkenalkan dirinya. Orang yang bermimpi itu juga mengetahui apa yang diberitahu oleh orang yang berkenaan walaupun orang tersebut tidak berkata apa-apa. Demikianlah halnya mata hati, melihat dan mendengar sekaligus, mengenali dan memahami apa yang ditemuinya.

mati hisi — Dalam suasana ini apa juga yang mengisi alam ini lenyap dari alam perasaan. Tidak ada lagi pemikiran, perasaan, bahasa, ruang, masa, ukuran dan rupa bentuk. Dia mengalami suasana yang kosong, tiada isi, tiada rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan apa-apa. Hatinya dikuasai oleh Wujud Allah s.w.t semata-mata, tidak ada yang lain. Keadaan kerohanian pada peringkat ini adalah menyaksikan zat yang kosong dari makhluk, yang maujud hanya Allah s.w.t.

mati maknawi — Apabila seseorang sampai kepada peringkat keasyikan terhadap sifat Allah s.w.t bakat diri zahirnya dikuasai oleh bakat diri batin atau hati nuraninya. Penglihatan mata zahir dikuasai oleh penglihatan mata hati. Benda-benda alam tidak lagi menarik perhatiannya. Sifat-sifat alam benda tidak berbekas pada hatinya ketika mata hatinya memandang kepada sifat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna dan Kekal. Kesedaran pancainderanya hilang dan dia dikuasai oleh suasana sifat Allah s.w.t. Kefanaan pada peringkat ini membuat seseorang melihat kepada keabadian. Dia tidak lagi melihat kepada jasad yang akan binasa dan tidak juga kepada dunia yang bersifat sementara. Dia dikuasai oleh suasana rohani sepenuhnya

mati surri — Pengaruh nur dari alam ghaib kepada hati menyebabkan segala kewujudan yang sementara dan sifat kemanusiaan terhapus dari alam perasaan atau hati. Hatinya dikuasai oleh suasana alam ghaib yang bersifat nur. Dalam suasana demikian pengaruh nama Allah s.w.t sangat memberi bekas pada hatinya. Orang yang mengalami kefanaan ini sudah terputus dari sifat-sifat kemanusiaan maka lahirlah perwatakan yang ganjil dan aneh, tidak secucuk dengan tatasusila dan adab masyarakat. Percakapannya sukar dimengerti dan kadang-kadang menyinggung perasaan orang lain. Mungkin juga terkeluar dari mulutnya ucapan yang pada zahirnya bersalahan dengan syariat.

mati tabii — Apabila hati seseorang mendapat keasyikan terhadap hal ketuhanan fikiran dan pancainderanya menjadi tidak aktif. Pendengaran dan penglihatan zahir tidak memberi kesan kepada hati dan fikiran. Pemikiran, perasaan dan keinginannya tidak memberi bekas kepada hatinya. Dia melihat kelakuan dirinya terjadi diluar kawalannya dan dia tidak berupaya menyekat apa yang mahu terjadi itu. Dia merasakan seolah-olah kuasa ghaib mengheretnya untuk berbuat sesuatu dan dia tidak berupaya menentang kuasa tersebut. Hubungan hatinya dengan Allah s.w.t sangat erat hinggakan setiap kali dia menyebut Allah hatinya merasakan seolah-olah Allah menjawab seruannya itu. Pada peringkat ini kesedaran diri lenyap di dalam lakuan Allah s.w.t. Hatinya menghayati bahawa Allah s.w.t jualah yang berkuasa melakukan segala sesuatu.

Mikraj — Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul Makdis naik ke alam langit-langit, sampai ke Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah sembahyang fardu.

muazzin — Juru bang.

mubah — Perkara yang pada dasarnya adalah halal tetapi dikhuatiri bercampur dengan perkara yang haram.

Muhajirin — Orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.

mujahadah — Perjuangan mengawal hawa nafsu dan membuang sifat-sifat yang tercela, menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.

mulhid — Orang yang berpegang kepada fahaman wahdatul wujud dan membuang syariat hanya sekadar bersandar kepada ilmu tanpa melalui pengalaman kerohanian mengenai hakikat.

muqarrabin — Orang yang merasakan akan kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika.

muridin — Sama seperti salik.

mursyid — Guru yang arif mengenai syariat zahir dan syariat batin dan juga mengamalkan kedua-duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis ilmu iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia memahami selok-belok perjalanan kerohanian dan mampu menghuraikan pengalaman-pengalaman kerohanian yang ditempuhi oleh muridnya iaitu orang salik. Guru yang demikian memiliki kasyaf qulub, iaitu boleh membaca perkembangan pemikiran dan jiwa muridnya. Bakat tersebut memudahkan mursyid itu membimbing muridnya.

musyahadah — Saling berhadapan, iaitu hamba berhadapan dengan Tuhan. Apa yang berlaku bukanlah berhadapan secara langsung. Ia adalah pengalaman kerohanian yang menyentuh hal ketuhanan. Tuhan membukakan hijab supaya hamba dapat mengenali-Nya sekadar yang Dia mahu diri-Nya dikenali.

muttakhaliq — Orang yang memasuki alam kerohanian dan mengalami hal ketuhanan. Sifat, keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya berubah. Segala sesuatu diisbatkannya kepada Tuhan. Dia samada melihat dirinya sebagai alat dan Tuhan yang menggunakan alat ataupun dia melihat Tuhan mengurniakan kepadanya alat dan dia sendiri yang menggunakan alat tersebut.

muttaqin — Orang yang menjalankan perintah Allah s.w.t dengan tepat dan bersungguh-sungguh meninggalkan larangan-Nya, iaitu orang yang bertakwa.

muwahhid — Orang yang dikuasai oleh hal di mana kesedaran dan ingatannya terhadap dirinya dan sekalian makhluk sudah tidak ada lagi. Dia dikuasai oleh suasana ‘Allah’ semata-mata. Dia melihat ‘Allah’, mendengar ‘Allah’ dan merasa ‘Allah’ pada semua perkara dan ketika.

mazhab — Aliran kefahaman mengenai agama.

Mikraj — Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul Makdis naik ke Alam Langit-langit, sampai ke Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah sembahyang fardu.

Muhajiirin — Orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.

mujahadah — Perjuangan mengawal hawa nafsu dan membuang sifat-sifat yang tercela, menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.

Mujahidin — Tentera yang berjuang demi jihad pada jalan Allah s.w.t.

mujtahid — Orang yang berkelayakan untuk berijtihad.

muktabar — Kedudukan atau kebolehan yang diperakui oleh orang-orang yang mempunyai ilmu dalam bidang berkenaan.

mulhamah — Nafsu mulhamah.

mumkinul wujud — Wujud makhluk.

munafik — Munafik kelas pertama muncul di Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Ubai. Mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak memperakui bahawa wahyu itu datangnya dari Tuhan. Mereka beranggapan Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang manusia biasa, bukanlah seorang rasul yang diutus oleh Tuhan. Mereka beranggapan wahyu hanyalah perkataan yang keluar daripada pemikiran Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan agama yang baginda s.a.w bawa namun, suasana di Madinah membuat mereka terpaksa menyertai Islam. Mereka memeluk agama Islam secara zahir sahaja sedangkan hati mereka menolaknya. Mereka menjadikan Islam bukan sebagai agama Tuhan, tetapi hanyalah sebagai sebuah pertubuhan atau pergerakan kemanusiaan. Oleh yang demikian mereka membuang ajaran dan peraturan agama pada bila-bila masa sahaja yang mereka suka. Mereka juga gemar mempersendakan kepercayaan agama yang mereka anggap lebih rendah daripada nilai-nilai kemanusiaan yang ada dengan mereka. Sifat-sifat munafik itu ‘berjalan’ dari satu generasi ke generasi yang lain, hinggalah kepada generasi sekarang. Kemunafikan yang ada bergantung kepada kekuatan sifat-sifat munafik yang menguasai hati. Jika sifat-sifat munafik itu sampai kepada tahap mampu menutup hati daripada melihat kebenaran ajaran dan peraturan Islam maka sifat-sifat kemunafikan itu bertukar menjadi kekufuran.

munkar — Perkara baik menurut nilai-nilai murni kemanusiaan yang diperakui oleh ajaran agama menjadi perkara makruf sementara perkara buruk pula menjadi perkara munkar. Dalam agama, perbuatan makruf berhak mendapat pahala dan perbuatan munkar layak menerima dosa.

muraqabah — Kehampiran hati dengan Allah s.w.t menyebabkan hati merasai bermuraqabah atau berhadapan dengan Tuhan.

mursyid — Guru yang arif mengenai syariat zahir dan syariat batin dan juga mengamalkan kedua-duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis ilmu iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia memahami selok-belok perjalanan kerohanian dan mampu menghuraikan pengalaman-pengalaman kerohanian yang ditempuhi oleh muridnya iaitu orang salik. Guru yang demikian memiliki kasyaf qulub, iaitu boleh membaca perkembangan pemikiran dan jiwa muridnya. Bakat tersebut memudahkan mursyid itu membimbing muridnya.

muta’allim — Orang yang menuntut ilmu.

muthmainnah — Nafsu muthmainnah.

Mutlak — Keadaan Tuhan yang Berdiri Dengan Sendiri.

mutahaqqiq — Salik yang telah melepasi peringkat fana dan baqa dan kembali kepada kesedaran kemanusiaan seperti biasa. Mutahaqqiq berkemampuan menguruskan kehidupan di dalam dunia ini sebagaimana seorang manusia biasa, tidak lagi terbawa-bawa dengan kemabukan dan latah.

muttakhaliq — Muttakhaliq adalah orang yang memasuki alam kerohanian dan mengalami hal ketuhanan. Sifat, keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya berubah. Segala sesuatu diisbatkannya kepada Tuhan. Dia samada melihat dirinya sebagai alat dan Tuhan yang menggunakan alat ataupun dia melihat Tuhan mengurniakan kepadanya alat dan dia sendiri yang menggunakan alat tersebut.

Kembali ke senarai bab