Sufi Islam Darul ImanBersama Memurnikan Akidah & Akhlak Muslim

L

Lahut/Alam Lahut — Makam zat Allah s.w.t yang tidak mampu diceritakan.

latah — Ucapan yang menyalahi syariat yang muncul daripada orang yang sedang mengalami jazbah atau zauk, misalnya ucapan, “Ana al-Haq”. Oleh kerana ucapan yang demikian keluar di luar kesedaran dan kawalannya, maka orang yang berkenaan berhak dimaafkan tetapi orang yang sengaja mengucapkan yang demikian di dalam kesedaran biasa berhak dihukum kufur.

latifah — Unsur seni yang ghaib dan tidak dapat dijangkau oleh pancaindera, akal dan khayalan.

Latifah Akhfa — Ia adalah Latifah atau unsur nurani yang paling dalam. Kesedaran kebatinan pada tahap Latifah Akhfa menghilangkan sifat-sifat yang menghijabnya iaitu sifat Rabbaniah (ketuhanan) yang tidak layak dipakai oleh makhluk. Sifat tersebut melahirkan rasa sombong, ujub dan riak. Apabila tenaga ibadat dan zikir berjaya membebaskan Latifah Akhfa daripada sifat rabbaniah akan muncullah sifat kebaikan seperti ikhlas dan tawaduk yang sebenarnya. Kesedaran dalam daerah ini membuat seseorang gemar bertafakur. Dalam kesedaran Latifah ini juga hati mengalami rasa kasih, keasyikan dan kerinduan yang bersangatan terhadap Rasulullah saw. Ucapan selawat merupakan ucapan yang sangat merdu dan mengasyikkan. Keasyikan terhadap Rasulullah saw dalam daerah Latifah Akhfa ini juga membuat seseorang mengalami suasana ‘pertemuan’ dengan rohani Rasulullah saw sama ada dalam mimpi atau pun dalam jaga. Pada tahap ini juga muncul Cinta Allah yang lebih halus dan lebih seni yang membawa hati bermuraqabah atau berhadap kepada Allah s.w.t semata-mata, tidak kepada selain-Nya.

Latifah Kalbu — Nur Ilahi menjadi sumber kepada semua kewujudan dan penghidupan. Apabila berhubung dengan alam unsur kesan atau bakat nur Ilahi itu dinamakan Latifah Rabbaniah. Latifah Rabbaniah yang berkait dengan hati nurani dinamakan Latifah Kalbu. Ia merupakan induk kepada semua Latifah. Ia adalah umpama badan bagi semua unsur nurani atau rohani. Ia menjadi raja yang memerintah sekalian anggota tubuh manusia. Ia juga menjadi tilikan Allah s.w.t. Jika baik ia maka baiklah sekalian anggotanya. Ia dibungkus oleh alam perasaan yang berbolak-balik. Kesungguhan beribadat dan berzikir membebaskan Latifah Kalbu daripada hijab alam perasaan. Bila ia bebas daripada tutupan alam perasaan maka ia akan menghadap kepada alam ghaib dan menerima ilham yang bebas daripada bisikan syaitan. Hati yang bebas daripada bisikan syaitan dapat menghadap kepada Allah s.w.t dengan tenang.

Latifah Khafi — Unsur nurani yang lebih mendalam daripada Latifah Sir. Latifah ini dihijabkan oleh sifat syaitaniah yang menerbitkan perasaan dengki, khianat dan busuk hati. Apabila tenaga ibadat dan zikir yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh berjaya menghancurkan sifat syaitaniah, akan muncullah sifat Latifah yang asli iaitu sabar, syukur, reda dan tawakal yang sebenarnya. Kesedaran pada tahap Latifah Khafi membuat seseorang memperolehi kekuatan rohani untuk menghampiri Allah s.w.t dan pada tahap Latifah ini juga selalu muncul perkara yang luar biasa seperti kebolehan mengubati penyakit dan mempunyai firasat yang tajam, walaupun bidang tersebut tidak pernah dipelajarinya. Kebolehan yang demikian adalah kurniaan Allah s.w.t semata-mata.

Latifah Kullu Jasad — Latifah Rabbaniah yang menguasai sekalian jasad. Latifah ini dihijab oleh sifat lalai dan jahil. Setelah tenaga zikir berjaya memecahkan hijab tersebut akan lahirlah sifat beramal dan bermakrifat. Apabila Latifah Kullu Jasad sudah terlepas daripada hijab kelalaian dan kejahilan, maka sekalian anggota akan tunduk dan ikut serta dalam kegiatan ibadat. Kejeliraan ibadat dan zikir akan turut dirasakan oleh sekalian anggota tubuh badan.

Latifah Nafsu Natiqah — Latifah Rabbaniah yang menguasai otak manusia. Otak manusia berfungsi ataupun manusia mempunyai akal kerana Latifah Nafsu Natiqah ini. Kadang-kadang manusia dipanggil haiwan yang pandai berfikir. Keadaan tersebut ditujukan kepada Nafsu Natiqah yang dimiliki oleh diri manusia itu. Nafsu Natiqah dihijab oleh sifat-sifat ammarah. Apabila berada dalam keadaan terhijab itulah akal manusia tidak dapat digunakan untuk menyaksikan sesuatu tentang Tuhan. Nafsu Natiqah dibaluti oleh gambaran keduniaan dan angan-angan yang menyenangkan hawa nafsu. Jika ibadat dan zikir berjaya menghancurkan hijab tersebut akan lahirkan sifat jiwa yang tenang dan akal dapat merenung sesuatu tentang Tuhan.

Latifah Rabbaniah — Perkara-perkara ghaib lagi latif yang termasuk di dalam perkara urusan Tuhan yang hakikatnya tidak diketahui oleh manusia.

Latifah Roh — Salah satu bakat atau keupayaan nurani yang ada pada Latifah Kalbu ialah Latifah Roh. Ia dibahasakan sebagai roh haiwani atau nyawa yang menghidupkan jasad. Apabila Latifah Roh berhenti berfungsi maka jasad akan mengalami kematian. Latifah Roh dibungkus oleh sifat- sifat keji yang mengheret manusia untuk memenuhi tuntutan syahwat tanpa menghiraukan akibat dan dosa. Suasana Latifah Roh yang tertutup itulah menyebabkan manusia mudah terdorong kepada maksiat. Tenaga ibadat dan zikir akan memecahkan tutupan tersebut dan membebaskan Latifah Roh melahirkan bakat dan keupayaannya yang kuat beribadat, bertawakal dan reda dengan takdir Allah s.w.t. Kesedaran pada tahap Latifah Roh ini membuatkan seseorang melakukan ibadat dan berzikir dengan banyaknya tanpa berasa penat dan jemu.

Latifah Sir — Unsur nurani yang lebih seni daripada Latifah Roh adalah Latifah Sir. Ia dibahasakan sebagai Roh Insan. Peranan Latifah Sir inilah yang memastikan bahawa insan menjadi insan, tidak menjadi makhluk lain dan juga makhluk lain tidak menjadi insan. Latifah Sir atau Roh Insani ini dihijab oleh sifat buruk yang mendorong manusia bermusuhan sesama sendiri, melakukan kezaliman, berdendam dan saling membenci. Apabila sifat-sifat ini dihancurkan dengan tenaga ibadat dan zikir akan muncullah sifat Latifah Sir yang asli iaitu mencintai Allah s.w.t dengan teramat sangat. Kesedaran kebatinan pada tahap Latifah Sir inilah yang sering membuat hati gilakan Allah s.w.t hingga ke tahap tidak rasional.

lawwamah — Nafsu lawwamah.

Kembali ke senarai bab