zauk — Pengalaman rasa yang dialami oleh hati yang berhubung dengan Tuhan. Melalui pengalaman tersebut hati mengenali Tuhan.
zauk hakikat — Pengalaman rasa mengenai sesuatu perkara atau suasana pada sisi Allah s.w.t yang menjadi sumber kepada kewujudan sesuatu perkara dan suasana tersebut.
zikir — Hubungan fikiran dan perasaan dengan Allah s.w.t. Zikir meliputi ucapan, perbuatan dan perasaan. Ucapan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t adalah zikir. Melakukan sesuatu amalan kerana mentaati perintah Allah s.w.t adalah zikir. Merenung dan memikirkan tentang kebesaran dan kebijaksanaan Allah s.w.t yang ternyata pada kerapian ciptaan alam maya ini adalah juga zikir. Merasai keagungan dan keindahan Allah s.w.t adalah juga zikir. Apa juga yang beserta ‘kerana Allah Ta’ala’ adalah zikir.
zikir daim — Zikir yang berkekalan. Apabila suasana ‘kerana Allah Ta’ala’ tidak putus, seseorang hamba itu sentiasa berada di dalam zikir, samada zikir ucapan atau zikir perbuatan atau zikir perasaan ataupun gabungan kesemuanya. Keadaan ini diperolehi setelah mencapai tahap penyaksian hakiki mata hati, iaitu mata hati menyaksikan Allah s.w.t pada setiap masa, semua keadaan dan segala kejadian. Allah s.w.t disaksikan pada dua perkara yang berlawanan dengan sekali pandang. Kerenah makhluk dan simpang siur perjalanan sistem sebab musabab tidak menyambar pandangan mata hati daripada menyaksikan sesuatu tentang Tuhan yang Hadrat-Nya meliputi segala sesuatu.
zindik — Kumpulan yang tidak mempercayai agama tetapi berpura-pura menganut fahaman keagamaan. Kumpulan ini muncul di Makkah, seperti kumpulan munafik muncul di Madinah. Puak munafik berpura-pura menyertai Islam kerana pada ketika itu agama Islam mempunyai kekuatan di Madinah. Puak zindik berpura-pura menganut fahaman agama berhala kerana pada ketika itu agama berhala mendapat tempat di kalangan orang Makkah.
zuhud — Suasana hati yang tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh dunia, walaupun kemewahan dan kesenangan keduniaan dimilikinya.