Sufi Islam Darul ImanBersama Memurnikan Akidah & Akhlak Muslim

W

Wahadiyyah — Suasana ketuhanan yang dinamakan nama-nama Tuhan. Nama-nama Tuhan yang banyak memperincikan keadaan Tuhan Yang Satu. Secara hakikat suasana yang demikian dinamakan Hakikat Insan.

Wahdat — Suasana ketuhanan yang dipanggil sifat-sifat Tuhan. Suasana sifat menceritakan keadaan nama-nama yang terkumpul, tidak diperincikan. Semuanya berada dalam satu kesatuan. Satu nama Tuhan menceritakan satu keadaan Tuhan tetapi nama Allah menceritakan keseluruhan aspek Tuhan. Wahadiyyah menceritakan aspek Tuhan secara satu-satu. Wahdat pula menceritakan aspek Tuhan Yang Satu iaitu Allah s.w.t, tetapi ia bukanlah Allah s.w.t. Wahadiyyah dan Wahdat hanyalah keadaan atau perihal Allah s.w.t tetapi bukanlah Dia. Suasana Wahdat ini dinamakan Hakikat Muhammadiah, yang menerima maklumat yang lengkap daripada Allah s.w.t. Maklumat Hakikat Muhammadiah itu kemudiannya disalurkan kepada cabang-cabang hakikat.

wahdatul ma’abud — Fahaman dan kepercayaan kepada satu Tuhan yang wajib disembah, ditaati dan segala pengabdian hanyalah untuk-Nya. Syariat mengajarkan wahdatul ma’abud, tidak ada Tuhan melainkan Allah s.w.t.

wahdatul syuhud — Menyaksikan satu wujud. Penyaksian tersebut berlaku dalam pengalaman kerohanian.

wahdatul wujud — Doktrin yang membawa fahaman dan kepercayaan bahawa hanya satu wujud sahaja yang ada iaitu wujud Tuhan. Wujud makhluk dan wujud Tuhan adalah wujud yang sama. Wujud hamba dan wujud Tuhan bersatu pada satu wujud.

wahyu — Petunjuk dan ajaran yang Allah s.w.t turunkan kepada nabi-nabi melalui beberapa cara, cara yang paling terkenal adalah wahyu yang dibawa oleh Jibrail. Wahyu tahap pertama diterima oleh Alam Hijab dalam peringkat Alam Arasy. Tidak ada makhluk mengetahui keadaan nur wahyu yang pada Alam Hijab itu. Nur Arasy menghalang makhluk alam bawah daripada menghampirinya. Sebagaimana Jibrail tidak dapat menghampiri Nur Arasy begitu jugalah Jibrail tidak mampu bertahan menerima nur wahyu yang pada Alam Hijab. Allah s.w.t membaluti nur wahyu itu dengan rahmat-Nya dan ia dibawa turun kepada Jibrail yang menanti di luar Alam Hijab. Rahmat Allah s.w.t menyelamatkan Jibrail daripada hancur apabila menanggung nur wahyu. Rahmat Allah s.w.t sentiasa menemani nur wahyu itu melalui setiap peringkat alam sehingga ia sampai kepada nabi yang ditakdirkan menerima wahyu tersebut. Tidak diketahui bagaimanakah hakikat nur wahyu yang sebenarnya, tetapi rahmat Allah s.w.t mempermudahkannya sehingga wahyu yang sampai kepada nabi itu menjadi boleh diterima, ditanggung, dibaca dan difahami oleh manusia. Walaupun begitu di dalam bungkusan rahmat Allah s.w.t itu tetap ada nur wahyu yang asli yang mampu meleburkan Jibrail. Apabila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Kalam-Nya Yang Hakiki, disingkap-Nya sedikit tabir yang menutupi nur wahyu itu. Tatkala itu hati yang berhadapan dengannya menjadi hancur, fana. Setelah sedar semula hamba itu mendapat makrifat tentang Kalam Tuhan. Bagaimana mungkin kewujudan alam ini bertahan menanggung hal-hal ketuhanan yang menguasainya? Semuanya adalah kerana rahmat Allah s.w.t.

Wajibul Wujud — Wujud Yang Wajib iaitu Wujud Tuhan.

wali — Hamba yang kembali kepada taraf amr Tuhan dan diletakkan-Nya di bawah payung pemeliharaan serta penjagaan-Nya. Seseorang wali melakukan sesuatu perkara bukan dengan kehendak dirinya sendiri tetapi dengan kehendak dan izin Allah s.w.t. Walaupun demikian seseorang wali masih juga mungkin melakukan kesalahan-kesalahan tetapi pemeliharaan Allah s.w.t cepat menariknya kembali kepada jalan yang benar.

wali kecil — Tahap seseorang hamba dipelihara, dijaga dan ditadbir secara sepenuhnya oleh Allah s.w.t, seumpama seorang bayi di tangan ibunya. Semua perkara dilakukan oleh si ibu, bayi hanya menanti. Si bayi tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Begitulah keadaan wali kecil yang diuruskan sepenuhnya oleh Allah s.w.t. Apabila dia meningkat lagi Allah s.w.t kembalikan bakat-bakat dan keupayaan mengurus kepada dirinya sehingga dia menjadi khalifah yang mampu menguruskan kehidupan di dalam dunia ini.

Wali Qutub — Wali peringkat tinggi.

warak — Sifat orang yang beriman, iaitu cermat di dalam segala pekerjaan. Orang yang beriman menjaga batas hukum. Perkara yang halal adalah jelas dan perkara yang haram juga jelas. Di antara yang halal dengan yang haram itu ada daerah yang samar-samar, yang dikatakan mungkin halal dan mungkin haram. Orang beriman yang warak meninggalkan perkara yang samar-samar dan meragukan itu. Semakin jauh daerah yang meragukan itu ditinggalkan semakin selamatlah iman seseorang.

warid — Kurniaan Allah s.w.t kepada hati iaitu sinaran Nur-Nya yang dengan itu hati merasai atau mengalami sesuatu hal mengenai ketuhanan.

waridah — Warid.

wirid — Amal ibadat seperti sembahyang, puasa dan zikir yang dilakukan secara teratur dan berterusan mengikut satu pola tertentu.

wisal — Penyerapan yang berkekalan terhadap sesuatu hal ketuhanan. Hal tersebut menguasai hati secara terus menerus dan terbentuklah sesuatu keperibadian dan sifat khusus pada orang berkenaan yang dipakainya sehingga ke akhir hayatnya.

Wujud Hakiki — Wujud Tuhan, iaitu Wujud mutlak.

Wujud Mutlak — Wujud Tuhan. Wujud Mutlak adalah wujud yang tidak boleh disifatkan. Istilah wujud itu sendiri tidak menepati maksud Wujud Mutlak. Bila dikatakan wujud maka ada lawannya iaitu tidak wujud. Tidak ada sekutu atau lawan bagi Allah s.w.t. Dia melepasi wujud atau tidak wujud. Dia tidak ada perkaitan dengan Wajibul Wujud atau mumkinul wujud. Jika perkataan wujud mahu digunakan maka Wujud-Nya adalah Mutlak, iaitu melampaui wujud. Sifat yang boleh dikatakan tentang Allah s.w.t adalah “Laisa kamithlihi syaiun – tidak ada sesuatu sebanding dengan-Nya”.

wusul — Biasanya hamba mengingati Allah s.w.t melalui nama-nama-Nya.. Jika tidak ada sebutan nama-Nya atau tidak ada ingatan hati kepada nama-Nya, maka hati berpaling atau terlepas daripada mengingati-Nya. Dalam perjalanan makrifat ada tahap di mana ingatan kepada Allah s.w.t bukan lagi melalui nama. Ia adalah dalam keadaan hati ‘memandang’ kepada-Nya tanpa mengingati nama-Nya. Hamba menyaksikan bahawa nama tidak mempunyai kekuatan apa-apa, malah nama itu juga bergantung kepada-Nya. Hamba yang sampai kepada makrifat tahap ini merasakan kehadiran Allah s.w.t tanpa dihijab oleh sebarang nama. Ingatannya kepada Allah s.w.t adalah rasa jelira, mesra dan lazat berhadapan dengan-Nya. Suasana yang demikian dinamakan wusul atau sampai, iaitu sampai kepada-Nya. Suasana tersebut adalah pengalaman kerohanian bukan sampai secara nyata.

wisal — Penyerapan yang berkekalan terhadap sesuatu hal ketuhanan. Hal tersebut menguasai hati secara terus menerus dan terbentuklah sesuatu keperibadian dan sifat khusus pada orang berkenaan yang dipakainya sehingga ke akhir hayatnya.

Kembali ke senarai bab