fadilat — Kelebihan, kemuliaan atau ketinggian.
falsafah — Satu jenis ilmu yang berlandaskan kekuatan akal yang bebas daripada pengaruh hawa nafsu, dunia dan tarikan anasir-anasir kebendaan. Akal yang demikian mampu mencungkil nilai-nilai kemanusiaan yang asli. Ia juga mampu melepasi kongkongan kebendaan untuk merenung kepada perkara-perkara ghaib dan abstrak yang berkait rapat dengan perjalanan anasir kebendaan dan alam. Akal yang demikian boleh sampai kepada tahap pertemuan dengan kenyataan tentang kewujudan Kuasa Mutlak yang mengawal sekalian makhluk.
fana — Peringkat pengalaman kerohanian di mana seseorang mengalami suasana ketiadaan kesedaran dan ingatan terhadap kewujudan diri sendiri dan makhluk lainnya. Fana dalam Allah s.w.t adalah pengalaman di mana seseorang mengalami suasana yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, seperti perbuatan, nama, sifat dan zat Allah s.w.t. Fana dan baqa adalah suasana kerohanian yang dialami sebelum seseorang itu kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa.
fanafillah — Fana dalam Allah s.w.t, di mana seseorang mengalami suasana yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, seperti perbuatan, nama, sifat dan Zat Allah s.w.t. Fana dan baqa adalah suasana kerohanian yang dialami sebelum seseorang itu kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa.
fana hakiki — Fana dalam ad-din, iaitu hilang kehendak diri di dalam kehendak agama. Tidak ada yang dikehendaki melainkan apa yang agama berkehendakkan dia melakukannya. Kehendak peribadinya tunduk kepada kehendak Allah s.w.t. Setelah seseorang hamba itu fana daripada dirinya, kehendak dirinya, perasaannya dan juga daripada makhluk sekaliannya, maka Allah s.w.t bawakan si hamba itu kepada suasana yang bersesuaian kehendaknya dengan kehendak Allah s.w.t dan agama-Nya.
faqir — Orang yang meletakkan pergantungan kepada Allah s.w.t semata-mata kerana Dia jualah yang memiliki sifat-sifat iftiqar yang mewajibkan makhluk berhajat dan bergantung kepada-Nya. Kefanaan di dalam Allah s.w.t juga diistilahkan sebagai faqir. Orang faqir adalah orang yang melihat ‘dari Allah’, ‘beserta Allah’ dan ‘kepada Allah’. fardu: Kewajipan yang dituntut oleh agama. Tidak melakukan fardu merupakan perlanggaran kepada peraturan agama.
fardu ain — Kewajipan yang ditanggung oleh setiap orang Islam secara individu seperti sembahyang, puasa dan lain-lain.
fardu kifayah — Kewajipan yang dikongsikan oleh orang-orang Islam seperti mengebumikan mayat dan lain-lain.
fasiq — Orang yang engkar kepada perintah agama dan mengadakan perlanggaran terhadap peraturan agama secara terbuka.
fatanah — Bijaksana. Ia adalah salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w. Di dalam perkara-perkara yang memerlukan kesabaran, penyerahan dan sebagainya, ia disertai oleh kebijaksanaan. Begitulah sikap yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
fi-sabilillah — Perjuangan pada jalan Allah s.w.t.
fitrah — Bakat-bakat, keupayaan dan daya nilai semulajadi yang Tuhan bekalkan bersama-sama dengan penciptaan makhluk-Nya. Fitrah setiap kejadian akan mengheret kejadian tersebut untuk mempamerkan sesuatu yang dengannya kejadian itu dikenali.
fitrah insan — Bakat-bakat, keupayaan dan daya nilai yang Tuhan kurniakan kepada manusia sejak manusia yang pertama diciptakan. Fitrah insan mengwujudkan makhluk bangsa manusia dengan identiti kemanusiaan yang nyata dan berbeza dengan makhluk yang lain. Fitrah insan juga menggerakkan manusia membina kehidupan di dalam dunia ini dengan berlandaskan nilai moral yang murni.
fitrah manusia — Sama seperti fitrah insan.
fitrah Muslim — Apabila fitrah insan disinari oleh cahaya iman ia meningkat kepada darjat fitrah Muslim. Nilai murni yang ada pada fitrah insan adalah berlandaskan kemanusiaan semata-mata. Apabila nilai murni tersebut dilandaskan kepada kepercayaan kepada Allah s.w.t dan kepatuhan kepada peraturannya baharulah fitrah insan itu menjadi Muslim.